SHAH ALAM – Bermula hari pertama banjir sehingga hari ini, dermawan dan aktivis sosial, Datuk Seri R. Jeyendran tidak putus-putus membantu mangsa-mangsa terlibat dalam bencana alam berkenaan.
Malah pengasas syarikat perkapalan selama lebih 17 tahun iaitu Maritime Network Sdn Bhd sendiri turun padang menggunakan bot-bot milik syarikatnya ke kawasan dilanda banjir.
Menurut Jeyendran, musibah banjir memberi kesan cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selepas pandemik Covid-19.
“Maaflah, saya tidak dapat menjawab panggilan anda sejak beberapa hari ini kerana saya sibuk di kawasan-kawasan banjir. Ramai mohon kepada saya secara peribadi untuk bantu, apabila saya sendiri turun saya terkejut dan menangis tengok betapa ramai mengharapkan bantuan.
“Jadi apa awal pagi Ahad, saya telah menghantar beberapa bot saya kepada sukarelawan dan juga ahli politik supaya mereka boleh gunakan bot-bot itu untuk aktiviti menyelamat, menghantar sumbangan makanan dan barangan lain.
“Kemudian saya sendiri turun, naik bot dalam keadaan paras air tinggi. Memang menakutkan, membimbangkan dan menyayat hati apabila sayup-sayup kita dengar suara orang menjerit meminta makanan dan minta kita tumpangkan mereka dalam bot.
“Ramai yang duduk dalam kesejukan atas bumbung rumah, tiada makanan, tiada air. Keadaan rumah tidak usah cakaplah. Walaupun bot yang saya hantar itu beberapa buah namun ianya masih tidak mencukupi. Kami terpaksa berulang alik.
“Sampai sekarang ada suara-suara yang terngiang-ngiang menjerit menangis minta tolong, memang saya tidak tidur malam. Saya bangun awal, sembahyang dan turun sama-sama membantu. Kasihan rakyat, mereka perlukan kita. Banjir ini sememangnya satu bencana yang sukar untuk saya gambarkan.
“Turunlah sendiri dan tengok sendiri tanggungan cukup besar, kata-kata sahaja tidak cukup,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, Maritime Network akan terus melakukan apa yang termampu untuk tolong mangsa-mangsa banjir.
“Saya juga mohon kepada yang berkemampuan untuk tampil bantu, lagi ramai lagi bagus. Kesan dan kerugian serta tanggungan mangsa adalah besar, lagi ramai kurang sedikit bebanan rakyat.
“Ingat ya, mereka semua rakyat dan saudara kita sendiri. Ribuan terjejas, walaupun kecil ianya sungguh bermakna, saya mohon,” ujarnya. -MalaysiaGazette