Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR – Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir yang melanda Kuantan pada Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku ketika beliau yang ingin pulang ke Kuala Lumpur melalui jalan berdekatan Sungai Soi, Kuantan di mana paras air secara tiba-tiba semakin naik memaksa beliau dan seorang rakannya keluar daripada kereta yang dipandunya.

Meskipun kereta yang dipandunya rosak teruk kerana dinaiki air namun beliau tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri dalam insiden itu.

“Saya sebenarnya dari Lanjut bersama rakan dan ingin pulang sekitar dalam jam pukul 5 petang, jadi pada mulanya saya redah sahaja jalan di Tanjung Lumpur.

“Laluan kedua pula berdekatan Sungai Soi, laluan simpang ke arah Pekan yang pada mulanya nampak macam tiada apa-apa, jadi saya meneruskan perjalanan macam biasa.

“Tetapi tidak sangka makin lama makin dalam air sehingga sudah memasuki kereta, dan kami tidak dapat berbuat apa-apa langsung selepas itu, nasib baik ada orang awam lain yang datang membantu.

“Saya duduk situ daripada jam 6 petang hingga 11 malam baru ada orang datang tunda kereta, dan saya boleh cakap kereta memang musnah sepenuhnya,” jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini. – MalaysiaGazette