Muhammed Farhan Basheer

JOHOR BAHRU – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan mengenal pasti ahlinya yang juga usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Naib Presiden DPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata, usaha itu bagi membolehkan bantuan pasca banjir berupa khidmat pembersihan dan barangan keperluan asas disalurkan pada Januari depan.

Menurut beliau, sebagai permulaan pihaknya akan mengenal pasti ahli-ahli dewan itu yang terjejas di Selangor dan Negeri Sembilan terlebih dahulu berdasarkan keadaan serius yang berlaku di dua negeri berkenaan.

Farhan ( dua dari kanan) bersama barangan keperluan untuk mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas.

“Mereka ini kita akan bantu untuk bantuan fasa kedua yang mana melibatkan barangan peralatan pembersihan dan kelengkapan keperluan asas, seperti peti ais dan dapur.

“Bantuan ini juga bukan hanya tertumpu kepada ahli semata-mata, penduduk dan orang ramai yang terjejas juga akan dibantu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM200,000,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bantuan Kecemasan Mangsa Banjir anjuran DPMM, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Larkin, di sini, hari ini.

Muhammed Farhan berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 10,000 ahli DPMM di seluruh negara yang mana sebahagian besar mereka adalah pengusaha PKS dan usahawan mikro.

Dalam pada itu, mengulas mengenai misi bantuan kecemasan yang dilakukan, beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan bantuan berupa peralatan mencuci, makanan dan kain bersih dengan nilai keseluruhan sebanyak RM100,000.

“Kita juga ada sediakan peralatan mencuci, sabun basuh, makanan, kain dan juga sejadah kepada mereka yang terjejas. Untuk program kali ini kita juga akan hantar ke Jelebu (Negeri Sembilan) dan Hulu Langat (Selangor)

“Kami jangkakan sekurang-kurang 400 ke 500 orang dapat dibantu dalam misi kali ini. DPMM dan rakan-rakan agensi melihat ini sebagai keperluan untuk kami menaburkan bakti sekali gus bekerjasama membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Farhan memberitahu, DPMM turut bercadang melakukan misi bantuan bencana banjir bagi fasa dua bagi membantu melakukan kerja-kerja pembersihan kepada mangsa banjir yang terjejas.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast