Mangsa, Mohd. Shukur Ahmad bercakap semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – “Sekurang-kurangnya RM5,000 untuk bantuan wang tunai sebagai permulaan,” itu luahan mangsa banjir, Mohd. Shukur Ahmad.

Pembantu jurutera itu berkata, beliau bukannya tidak menghargai bantuan awal sebanyak RM1,000 yang masing-masing disalurkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor.

Namun lelaki berusia 40 tahun itu berkata, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membeli barangan asas seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan periuk nasi untuk memulakan kehidupan.

Jelas beliau, itu belum lagi untuk mereka yang terkesan menanggung kos membaiki kerosakan kenderaan seperti kereta dan motosikal.

“Dalam keadaaan sekarang bukan kami hendak mewah tapi barang asas seperti peti sejuk, mesin basuh, mini televisyen untuk anak-anak dan periuk nasi adalah benda asas pada zaman sekarang.

“Saya memang merayu kepada sumber luar bantulah kami untuk meneruskan perjalanan kehidupan yang mana kami rasa terlalu tertekan sampai tahap tidak tahu bagaimana keadaan hari esok.

“Saya pula alami kerugian anggaran RM30,000 hingga RM40,000 dan belum lagi melibatkan kerosakan kenderaan kereta dan motosikal,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Mohd. Shukur yang menetap di Taman Desa Raya sejak empat tahun lalu berkata, jumlah bantuan sebanyak RM5,000 akan membolehkan mangsa banjir dapat mengurangkan beban kewangan untuk memulakan kehidupan baharu.

“Kalau dapat bantuan RM5,000 dapatlah kami bernafas sedikit apalagi yang ada anak-anak, hendak sekolah lagi, itu kalau anak seorang dua dan kalau ramai bagaimana pula.

“Dengan keadaan sekarang lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) harga naik dan belum bil-bil lagi, jadi kerajaan dan masing-masing agensi berwajib kena fikir kerana mereka tidak melalui apa yang kami rasa,” katanya.

Mangsa, Zainal Abidin Abdullah bercakap semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Taman Desa Raya, Zainal Abidin Abdullah mengakui sumbangan yang diterima di kawasannya ketika ini kebanyakan datang dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu.

Jelas beliau, agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum kelihatan namun memahami bencana banjir yang berlaku serentak di kawasan lain seperti Dengkil dan Taman Seri Muda selain Pahang.

“Harapan kami agar agensi-agensi terlibat lebih bersedia dan jika berlaku banjir bantuan akan tiba secepat mungkin.

“Ini kerana sampai hari keempat bencana, kami tidak terima bantuan dari mana-mana agensi,” katanya yang tinggal selama 31 tahun di taman itu.

Zainal Abidin, 57, juga berpendapat sekurang-sekurang RM10,000 diperlukan untuk satu keluarga bagi membeli keperluan asas seperti barangan elektrik dan perabot. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast