Datuk Joe Saravanan

SHAH ALAM – “Ini bukan masa cari salah, tuding menuding atau kritik sebaliknya masa ini kita perlu bersama-sama berganding bahu tidak kira  fahaman tampil sebagai satu keluarga bantu mangsa banjir.”

Itu luahan Timbalan Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Klang (BSSM), Datuk Joe Saravanan mengulas lindividu tertentu yang cuba mengeluarkan kenyataan tidak tepat sehingga menyebabkan kemarahan rakyat di kala musibah banjir.

“Saya minta tolong sangat-sangat pada semua, tidak kira ahli politik, kerajaan atau pembangkang, badan bukan kerajaan dan  sukarelawan. Ini bukan masa bergaduh, cari salah, apa sahaja kenyataan tidak bertanggungjawab atau bahan menyemarakkan kemarahan, kebencian sebenarnya tidak membantu.

“Biar kita duduk semeja, biar kita berganding selesai apa yang perlu dulu. Jangan cakap perkara mengarut, fakta tidak lengkap dan menambahkan lagi duka mangsa. Saya terbaca juga laporan media ada pihak datang dengan tangan kosong dan sebagainya.

“Selagi kita tidak tahu apa sebenarnya sumbangan, jangan kita main cakap. Itu akan buat rakyat jadi tidak tentu hala, jadi sakit hati. Saya mohon sangat-sangat, tolonglah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Joe Saravanan lagi, PBSM sudah mula turun padang terutama di beberapa lokasi yang teruk sejak minggu lepas untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan selain terlibat dengan kerja menyelamat membantu pihak berwajib.

Pusat Pemindahan SKJT Ladang Emerald Bukit Kemenangan Shah Alam telah dibuka sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa yang terlibat yang turut dikordinasi oleh saya sendiri, Pengerusi PIBG SJKT Ladang Emerald, K Thayalan, Penyelaras Parlimen Kota Raja, Kajendran, Naib Ketua Cabang PKR, Manimaran, Datuk Ganeson serta ramai lagi sukarelawan.

“Jika anda tengok senarai nama-nama ini, ramai yang latar belakang berbeza, parti politik berbeza turut sama-sama selaras PPS ini. Sini lebih 1,500 mangsa telah dipindahkan dari kediaman mereka yang dinaiki air sejak Sabtu lepas. Kini ada lebih 3,000 mangsa di sini.

“Yang datang melawat PPS dan menghulurkan bantuan termasuklah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Adun Ganabatirao, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Datuk Ahmad Maslan juga Datuk Mastura. Mungkin ramai lagi saya tidak sebut,” katanya.

Menurutnya, tidak timbul isu siapa hulur bantuan kerana setiap orang mempunyai cara masing-masing menyalurkan bantuan.

Sebenarnya para sukarelawan, NGO, individu, ahli korporat dan ramai lagi turut tampil tetapi bukan semua mendapat liputan media.

“Semua sedang cuba yang terbaik, fokus adalah rakyat yang kini mangsa kepada satu bencana yang sunggguh besar impaknya, marilah kita bersangka, tolong antara satu sama lain dan tidak burukkan keadaan.

“Kepada semua yang membantu, terima kasih sangat-sangat. Kata-kata tidak cukup, kita semua adalah keluarga Malaysia, kita bantu sesama kita tanpa sebarang prasangka,” rayunya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast