Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mewajibkan pemakaian peranti digital bagi memastikan semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk dikuarantin di rumah.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, keputusan itu perlu memandangkan kes varian baharu Covid-19, Omicron yang dikesan membabitkan individu kembali dari Jeddah terutama baru pulang daripada menunaikan umrah.

Kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah sebenarnya tidak mematuhi arahan itu malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

Khairy juga mendedahkan daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

“Kita mendapati sebahagian besar daripada mereka tidak mematuhi SOP, dan tiada menjalani pengasingan.

“Ada dalam kalangan mereka bergaul dengan keluarga dan menerima tetamu daripada jiran tetangga. Mereka bersalam untuk mengambil berkat tetapi akhirnya mendapat jangkitan Omicron,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dalam pada itu, Khairy juga memaklumkan KKM telah mengesan 49 lagi kes positif Covid-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC) Omicron dengan satu daripadanya berkemungkinan daripada penularan tempatan.

Jelasnya penularan tempatan itu dikesan di Sarawak membabitkan lelaki warganegara China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan sudah bekerja di negeri berkenaan sejak tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette