Orang awam yang terima bekalan makanan ketika terperangkap banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) sedang mengumpul maklum balas daripada ahli mengenai kerugian yang dialami akibat banjir.

China Press melaporkan, setakat pukul empat petang pada Khamis, laporan kerugian yang diterima FMM di Selangor telah melebihi RM150 juta.

Banjir memberi tamparan kepada proses pemulihan COVID-19 dengan operasi kilang tertentu masih tidak boleh diaktifkan semula.

Pengerusi FMM Cawangan Selangor dan KL, Michelle Hah Mei Kian berkata, banjir besar di Selangor juga menyebabkan rantaian bekalan terjejas kerana bekalan elektrik di banyak tempat belum pulih dan operasi kilang terhenti.

Beliau berkata, Klang dan Shah Alam menerima tamparan terhebat dan kedua-dua tempat itu juga merupakan “nadi industri” Lembah Klang kerana menjadi tumpuan kilang.

“Banjir turut menjejaskan logistik selepas jalan ke Pelabuhan Klang ditenggelami air dan ramai pekerja pelabuhan tidak boleh pergi ke tempat kerja.

“Keadaan ini akan menyebabkan penangguhan dari segi pengangkutan,” katanya kepada China Press.

Michelle turut meminta kerajaan untuk melaksanakan program bantuan termasuk memanjangkan moratorium bayaran pinjaman sebanyak tiga bulan bagi meringankan beban pengusaha.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan (Mybha), Sri Ganesh Michiel berkata, banjir besar menyebabkan pengusaha kehilangan peluang pemulihan sempena dengan musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu pada akhir tahun.

Katanya kepada Nanyang Siang Pau, banjir menyebabkan tempahan bilik akhir tahun di sesetengah negeri menjunam 90 peratus.

“Bukannya orang ramai tak mahu melancong, tetapi mereka berdepan kesukaran untuk keluar melawat.

“Dulu penduduk di selatan Semenanjung gemar melancong ke kawasan tengah Semenanjung, tetapi banjir telah menyebabkan mereka tidak boleh melawat,” katanya. – MalaysiaGazette