KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya empat syarikat insurans telah mengeluarkan arahan untuk menyemak secara teliti pembelian insurans baharu untuk perlindungan bencana alam bagi kereta di kawasan hitam yang berlaku banjir.
Presiden Persatuan Wakil-Wakil Insurans Am Malaysia, Lau Yoke Ping berkata, langkah yang diambil itu adalah bersifat sementara dan mungkin selama setahun.
Yoke Ping berharap orang ramai tidak tersalah faham mengenai langkah tersebut kerana pembelian atau pembaharuan insurans bencana alam untuk kereta di kawasan banjir tetap akan diterima.
“Cuma pembelian berkenaan akan disemak secara teliti sebelum syarikat memutuskan untuk meluluskannya atau tidak,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Menurutnya, semakan oleh empat syarikat insurans itu bertujuan mengelak pemilik kereta bermain taktik dalam tuntutan insurans.
Katanya, taktik termasuk memperbaharui insurans pada Disember dan menambah perlindungan bencana alam, walaupun insurans asal tamat tempoh pada Januari, dengan tujuan mendapat tuntutan selepas banjir.
Katanya, kesedaran mengenai insurans bencana alam dalam kalangan pemilik kenderaan telah meningkat selepas mereka melihat banyak kereta termusnah dalam banjir.
Jelasnya, insurans bencana alam meliputi tiga jenis malapetaka iaitu pokok tumbang, tanah runtuh dan banjir.
Ujarnya, premium untuk insurans bencana alam adalah 0.2 hingga 0.25 peratus daripada nilai kereta. – MalaysiaGazette