PUCHONG – Walaupun ada yang mempersoalkan peranan mereka ketika bencana banjir berlaku, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus komited dan bekerja keras membantu mangsa-mangsa banjir tanpa henti.
Jika pada hari pertama bencana banjir berlaku mereka sanggup mengorbankan nyawa menyelamat mangsa dengan mengharungi paras air tinggi, tugas anggota penjawat awam itu tidak berhenti di situ.
Memasuki hari kelapan bencana, anggota ATM kini menjalankan kerja-kerja membersih dan melupuskan sampah di kawasan yang terjejas dengan banjir.
Senario itu dapat dilihat apabila anggota ATM menggunakan asset pasukan keselamatan itu seperti jentolak dan lori untuk kerja-kerja pembersihan dan pengurusan lokasi pembuangan sampah secara teratur di Kampung Batu 12, di sini.
Sebelum ini, netizen termasuk golongan selebriti mempersoalkan peranan pasukan ATM dalam usaha membantu mangsa banjir yang mengundang rasa kurang senang ramai.
Ada yang membuat kenyataan di media sosial mendakwa mereka tidak melihat anggota ATM bertugas di kawasan terjejas banjir di sekitar Shah Alam, Banting dan Hulu Langat.
Selain itu, terdapat juga kes selebriti berkongsi beberapa keping foto aset pasukan keselamatan termasuk ATM, bomba serta PDRM dipercayai sewaktu perarakan sambutan Hari Kebangsaan sebelum pandemik Covid-19 menyerang dunia.
Perkongsian itu mengundang pelbagai tafsiran terutamanya ketika wujud dakwaan kononnya aset pasukan keselamatan tidak digunakan sebaik mungkin ketika negara berdepan bencana banjir
Namun orang ramai berpendapat, ketika ini bukan masanya untuk menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak ketika misi bantuan sedang giat dijalankan di kawasan terjejas.
Bagaimanapun, Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang dilaporkan berkata, tentera turun ke lapangan pada malam hari pertama banjir lagi, di sebalik tuduhan di media sosial bahawa ada anggota tentera tidak mahu menyelamatkan mangsa.
Katanya, arahan menyelamatkan mangsa banjir telah dikeluarkan dua bulan lalu, dan sejak itu tentera bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. – MalaysiaGazette