Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Beberapa pasukan Liga Malaysia menganggap tidak adil untuk menyalahkan Malaysian Football League (MFL) atas prestasi skuad Harimau Malaya kerana ia perlu melihat kekangan yang dihadapi dalam memastikan Liga Malaysia 2021 dapat dijalankan.

Prestasi skuad kebangsaan menjadi sebutan hangat ketika ini selepas aksi hambar mereka di pentas Piala AFF Suzuki tempoh hari yang mana terdapat pihak menyalahkan MFL atas jadual liga yang tidak teratur menyebabkan persedian pasukan negara terjejas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang, beliau tidak menolak jadual liga sememangnya padat tetapi MFL telah berusaha menganjurkan saingan Liga Malaysia musim ini biarpun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan dalam masa sama menjaga kepentingan kelab-kelab tempatan serta penaja-penaja.

Bahkan, beliau menyifatkan banyak faktor yang perlu dilihat di sebalik jadual yang padat itu termasuk tempoh kuarantin yang perlu dilalui pasukan sekiranya positif Covid-19.

“Kita nak menyalahkan MFL secara keseluruhan juga tidak adil sebab sekarang ini adalah musim pandemik, sangat mencabar.

“Saya tak nafikan jadual memang padat, tetapi kita tidak boleh nak menunding jari kepada MFL semata-mata sebab kita kena lihat juga faktor yang menjadikan jadual sebegitu dan sebab itu saya kata MFL tidak boleh disalahkan 100 peratus.

“Pada saya, ini bukanlah masanya untuk kita menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kena sama-sama mencari solusi dan rasanya tidak patut meletakkan jadual tempatan sebagai punca utama,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh turut senada apabila menganggap setiap negara mempunyai peraturan yang berbeza.

Bliau percaya MFL tidak terkecuali berdepan saranan yang ketat dalam memastikan Liga Malaysia tetap berjalan pada musim ini.

Justeru, adalah tidak adil untuk membandingkan kaedah yang dilakukan dalam penjadualan liga di Malaysia dengan negara-negara lain.

“Bagi saya, kita boleh lihat bagaimana MFL berdepan cabaran untuk mengatur jadual dan kita kena tengok juga kekangan yang ada untuk memastikan seiring dengan peraturan kerajaan.

“Saranan daripada kerajaan kita tidak boleh sewenang-wenangnya ambil mudah dan untuk itu, banyak faktor yang berlaku sebelum saingan liga tetap berjalan sehingga habis musim.

“Cuma kita harapkan, apa yang berlaku ketika ini perlu dibawa ke hadapan untuk semua pihak sama-sama bersedia dengan perancangan lebih rapi selepas dua musim yang begitu mencabar”, katanya.

Terdahulu, pasukan kebangsaan gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan saingan peringkat Kumpulan B Piala AFF Suzuki pada kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata sekali gus menerima pelbagai kritikan dengan ramai pihak menyalahkan jadual Liga Malaysia sebagai punca utama kegagalan skuad kendalian Tan Cheng Hoe. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast