Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Sarawak menjadi negeri tertinggi menerima dos vaksin penggalak di negara ini, sekali gus merekodkan penurunan dalam jumlah kes jangkitan dan juga kematian Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, penurunan kes positif dan kematian di negeri itu sejak dua bulan lalu.

“Bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan di Sarawak telah menunjukkan tren penurunan sejak dua bulan yang lepas yang mana sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-48, bilangan kes yang dilaporkan adalah kurang dari seribu seminggu iaitu 776 kes berbanding bilangan kes pada ME ke-52 iaitu sejumlah 208 kes.

“Selain itu, angka kematian yang disebabkan Covid-19 juga menunjukkan penurunan daripada 497 kes pada bulan Oktober kepada 24 kes pada Disember 2021 (sehingga 28 Disember 2021).

“Bagi kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan  ketara yang mana sebanyak 99 kes dirawat di ICU pada 5 November 2021 berbanding hanya 11 kes di ICU pada 26 Disember 2021.

“Tetapi buat masa ini, tiada peningkatan kes Covid-19 berikutan PRU DUN Sarawak ke-12,” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. di sini.

Khairy berkata,  penurunan bilangan kes positif, kemasukan hospital, kes yang memerlukan rawatan rapi dan juga kematian selari dengan peningkatan liputan vaksin Covid-19 dos penggalak dan dos ketiga di Sarawak.

Perkembangan ini merupakan mesej keberkesanan dos penggalak, terutama di Sarawak yang menjadi negeri peneraju dari segi dos penggalak.

Dalam perkembangan berkaitan Khairy juga memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk mengutamakan pemberian dos penggalak kepada vaksin Pfizer dan diikuti vaksin AstraZeneca.

“Manakala vaksin Sinovac sebagai dos penggalak pula hanya akan diberikan kepada mereka yang mempunyai alahan dengan nasihat serta saranan doktor perubatan.

“Kita membuat ketetapan ini kerana data klinikal tentang keberkesanan Pfizer dan AstraZeneca sebagai dos penggalak menunjukkan tahap efektifnya sangat tinggi berbanding vaksin Sinovac.

“Malah, penerima yang mempunyai alahan terhadap Pfizer dan AstraZeneca boleh memilih pasaran swasta sebab dos penggalak berkenaan juga ada dijual di sana, tetapi saranan KKM yang pertama Pfizer dan kedua, AstraZeneca.

“Untuk Sinovac sebagai dos penggalak hanya untuk mereka yang mempunyai alahan atau kontraindikasi sahaja dan perlukan nasihat doktor untuk dos ketiga itu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette