Zakaria (kanan) bersama Phee Boon Poh melepaskan misi bantuan banjir JKM Pulau Pinang ke Selangor hari ini.

GEORGE TOWN – Khidmat Kaunseling antara bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dalam misi bantuan banjir di Selangor.

Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata, khidmat itu antara lain disediakan bagi menaikkan semula semangat mereka yang kehilangan harta benda selepas terkesan dengan banjir.

Kata beliau, tiga kaunselor dihantar bagi membantu memulihkan emosi mangsa yang mengalami trauma akibat bencana itu.

Zakaria (kanan).

“Apa yang kita lihat aspek kaunseling dan psikologi juga penting, selain tenaga kerja untuk membersihkan rumah.

“Susulan itu, kita telah menghantar pasukan kaunseling  untuk membantu mereka terutamanya mangsa dan juga anak-anak mereka yang mungkin trauma dengan keadaan tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas membuat pelepasan misi bantuan banjir JKM Pulau Pinang ke Selangor di sini, hari ini.

Misi tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu lori, van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa barangan bantuan.

Antara barangan keperluan yang dibawa adalah sabun, syampu, kain selimut dan lain-lain.

Setakat ini, 20 kakitangan JKM terlibat dengan misi bantuan banjir secara berperingkat-peringkat sejak minggu lepas. – MalaysiaGazette