loan scam money ringgit

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun berlalu, Covid-19 masih berterusan mempengaruhi naratif pelabur, menjejaskan prospek Bursa Malaysia dan juga ringgit.

Perkembangan berkaitan varian terbaharu pandemik tersebut, Omicron, menunjukkan bahawa Malaysia masih lagi berdepan dengan kesukaran.

Meskipun Bursa Malaysia masih menjadi tarikan kepada dana asing, namun lain pula halnya dengan ringgit Malaysia yang mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan ketika ini dengan isu-isu berkaitan program pengurangan pembelian aset oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menyebabkan ringgit berada dalam situasi tidak menentu.

Terkesan akibat daripada varian baharu COVID-19

Bulan pertama tahun 2021 kelihatannya seperti menjanjikan prospek yang baik bagi Bursa Malaysia dan juga ringgit sebelum negara terjejas semula akibat penularan varian baharu Delta yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) terpaksa dikuatkuasakan semula.

Namun begitu, memandangkan PKP 2.0 kurang ketat berbanding sebelumnya, penurunan pasaran tidaklah sebegitu teruk seperti semasa PKP 1.0 apabila FBM KLCI mencecah paras terendahnya dalam tempoh lima tahun kepada 1,303.28 pada Mac 2020.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pada 2021, indeks petunjuk pasaran itu berjaya melepasi paras 1,600 beberapa kali tetapi ia dijangka mengakhiri tahun ini pada sekitar paras 1,500.

Kebimbangan terhadap Omicron telah menyebabkan FBM KLCI mencecah paras terendahnya tahun ini pada 1,480.92 pada pertengahan Disember.

Paras tertinggi pada 2021 ialah pada 1,639.83 mata yang direkodkan pada awal Mac.

Ketidaktentuan pasaran juga menyebabkan Bursa Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melanjutkan penggantungan sementara jualan singkat intra hari (IDSS) dan jualan singkat intra hari oleh Pedagang Harian Proprietari (jualan singkat PDT) dua kali tahun ini sehingga akhir tahun 2021.

Penggantungan itu kali pertama dilakukan pada 24 Mac, 2020, dalam mendepani pandemik sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif pengawal selia untuk menambah baik kestabilan pasaran.

Pada 17 Dis, 2021, SC dan Bursa Malaysia Bhd berkata ia akan menarik balik penggantungan sementara itu pada 1 Jan, 2022.

Justeru, penepian sementara PDT berkaitan dengan jualan singkat  PDT tidak lagi terpakai.

Pengawal selia juga melanjutkan inisiatif bantuan bagi syarikat yang mengalami masalah kewangan dengan langkah-langkah terbaharu memberikan syarikat yang berada dalam kriteria PN17 dan GN3 tempoh pelepasan 18 bulan antara 1 Julai, 2021 dan 31 Dis, 2021, berbanding 12 bulan sebelumnya.

PN17 adalah singkatan kepada Nota Amalan 17/2005 yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia dan berkaitan dengan syarikat yang mengalami masalah kewangan. Bagi mengekalkan status penyenaraian mereka, syarikat yang berada di bawah definisi PN17 perlu menyerahkan cadangan kepada pihak berkuasa yang meluluskan untuk menyusun semula dan memulihkan syarikat.

Begitu juga, Panduan Nota 3 atau syarikat GN3 adalah yang tersenarai di Pasaran ACE dan mengalami masalah kewangan.

Susulan langkah itu, syarikat seperti KNM Group Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Impiana Hotels Bhd dan Serba Dinamik Holdings Bhd berjaya mengelak buat sementara daripada termasuk ke dalam kategori PN17.

Setakat 30 Nov, 2021, terdapat sejumlah 23 syarikat yang dikelaskan di bawah PN17 dan GN3, yang mewakili 2.54 peratus daripada sejumlah 905 syarikat tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Securities.

Syarikat yang berada di bawah kategori GN3 ialah G Neptune Bhd dan IDimension Consolidated Bhd.

Sementara itu, TH Heavy Engineering Bhd (THHE) berdepan penyahsenaraian selepas Bursa Malaysia menolak permohonan lanjutan masa untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya.

Ringgit berbanding Rizab Antarabangsa

Ringgit bermula pada tahun ini dengan kedudukan yang kukuh pada paras 4.00 dan kini berada melebihi 4.20 berbanding dolar AS.

Menurut Mohd Afzanizam, para pegawai Rizab Persekutuan AS telah menyatakan keyakinan mereka bahawa akomodasi dasar monetari perlu ditamatkan dengan lebih cepat berdasarkan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Oleh itu, ringgit menjadi lemah berikutan nilai dolar AS meningkat.

Ketua Ekonomi dari Juwai IQI Shan Saeed percaya Bank Negara Malaysia (BNM) telah menempuh ekonomi global yang lemah dengan baik melalui dasar monetari berhemat dan struktur ringgit yang stabil.

“BNM telah memainkan peranannya dengan baik semasa kita menghadapi tempoh sukar dalam pasaran kewangan global.

“Ekonomi global menuju kepada kekurangan berbanding kelimpahan dalam pertumbuhan ekonomi dan inflasi merangkumi semua aspek.

“Kita sedang menghampiri akhir tahun dan telah menyaksikan banyak kelembapan dalam ekonomi global, kekurangan, kesesakan rantaian bekalan dan risiko geopolitik,” kata Shan.

Bagi rizab antarabangsa, beliau berkata angka akan terus disatukan, apabila eksport negara meningkat dalam persekitaran kewangan yang lemah.

Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$116.3 bilion sehingga 15 Dis, berkurangan daripada US$116.7 bilion pada akhir bulan lepas. Ia berjumlah US$116.1 bilion sehingga 29 Oktober.

Adakah 2022 akan memberikan harapan palsu lagi?

Walaupun ekonomi Malaysia telah memulakan proses pemulihannya, sebarang kemunculan varian baharu berpotensi menyebabkan ekonomi kembali kepada situasi henti-mula.

Oleh itu, Mohd Afzanizam percaya komuniti pasaran kewangan akan terus berjaga-jaga apabila negara memasuki tahun ketiga hidup dengan koronavirus.

“Permintaan terhadap aset selamat akan disokong dengan baik.

“Bagaimanapun, pada masa sama, pembukaan semula ekonomi telah berjalan dengan baik dan kerajaan terus komited untuk mendapatkan lebih banyak vaksin berikutan suntikan penggalak ketiga dilihat tidak dapat dielakkan untuk mengekalkan status imuniti kelompok.

“Justeru itu, risiko peningkatan kepada pertumbuhan tidak boleh ditolak sepenuhnya,” katanya.

Secara keseluruhannya, Bank Islam mengunjurkan FBM KLCI akan mengakhiri 2022 pada 1,660 mata, manakala ringgit dijangka meningkat kepada RM4.09.

Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd Imran Yassin Md Yusof berkata Malaysia menyaksikan kehadiran semula dana-dana asing sejak Ogos tahun ini.

Jumlah belian bersih yang dilaksanakan sejak 11 Ogos, 2021 sehingga 2 Dis, 2021 berjumlah RM3.74 bilion, menyebabkan kedudukan jualan bersihnya merosot kepada -RM2.27 bilion.

“Persoalannya kini, adakah aliran masuk daripada pelabur asing ini akan kukuh sehingga 2022?

“Meskipun masih awal, namun, berdasarkan reaksi kebimbangan semula terhadap COVID-19 baru-baru ini, kami berpendapat bahawa isyarat-isyarat itu dilihat menggalakkan,” kata Imran Yassin.

Shan lebih yakin terhadap prestasi ringgit dengan menjangka kestabilan mata wang tempatan itu pada 2022.

“Kami di Juwai IQI menjangka ringgit akan mendapat manfaat daripada peningkatan harga komoditi dan perdagangan dengan China yang lebih tinggi berikutan pembukaan ekonomi pada tahun depan,” kata Shan sambil menyatakan ringgit mungkin bergerak antara paras 3.75 dan 4.15 berbanding dolar AS pada 2022.

BNM mungkin mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) antara 1.00 peratus dan 1.75 peratus tahun depan dan mengukuhkan dasar monetari apabila perlu.

Shan berkata rizab antarabangsa dijangka melebihi US$120 bilion berikutan sentimen yang bergantung kepada lebihan dagangan.

“Secara keseluruhan, FBM KLCI dijangka didagangkan antara paras 1,600 hingga 1,700 untuk mengekalkan penglibatan pelabur dan struktur pasaran yang menarik bagi peluang pelaburan. Beberapa sektor akan tetap menjadi tumpuan seperti perladangan, teknologi dan sarung tangan.

“Secara ringkasnya, Juwai IQI kekal optimis terhadap prospek ekonomi Malaysia pada 2022 dengan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk diniagakan antara  4.0 dan 5.0 peratus menerusi penggunaan domestik yang kukuh, perkembangan mendadak dalam teknologi digital dan harga komoditi lebih tinggi yang mendorong trajektori pertumbuhan,” katanya. – MalaysiaGazette