JOHOR BAHRU- Ketua Polis Daerah Tangkak bersama dua anggotanya dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati cuai dalam penyeliaan sehingga Long Tiger meloloskan diri daripada lokap mahkamah pada 15 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua anggota terbabit merupakan ketua polis balai dan seorang inspektor ketenteraman awam di salah sebuah balai di daerah yang sama.
“Kertas siasatan berkaitan perkara ini dipanjangkan ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut berdepan tindakan, seorang pegawai polis berpangkat Senior Asisten Komisioner serta seorang koperal kerana cuai sehingga maklumat dalaman berhubung Long Tiger bocor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta,” kata Ayob Khan.
Dalam pada itu, polis juga telah mengenalpasti pemilik akaun Facebook menggunakan nama Jebat Derhaka (JD) yang menularkan gambar Long Tiger ditangkap oleh beberapa anggota polis semalam.
“Kita telah kenalpasti pemilik akaun JD, beliau merupakan seorang bekas anggota polis berumur 47 tahun dan berasal dari Klang, Selangor,” katanya.
Kertas siasatan ke atas pemilik akaun terbabit akan dibuka dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang menularkan maklumat sulit dan gambar operasi di media sosial.
“Saya ingatkan pada semua. Baik polis, orang awam atau sesiapa sahaja yang cuba menularkan apa-apa sahaja berkaitan Polis Diraja Malaysia secara suka-suka, kami akan ambil tindakan.
“Saya telah ambil tindakan kepada pegawai, anggota polis dan orang awam berkongsi dan menularkan maklumat sulit serta gambar operasi yang diperoleh melalui Facebook” katanya.-MalaysiaGazette