BANGKOK – Pihak berkuasa Kesihatan Awam Thailand memberi amaran peningkatan kes COVID-19 selepas mengklasifikasikan kluster Omicron pertama negara itu di wilayah timur laut Kalasin sebagai “super-spreader event”.

Kluster cepat merebak itu dikaitkan dengan sepasang suami dan isteri Thai, kedua-duanya berusia 47 tahun, yang pulang dari Belgium dan memasuki negara itu melalui program tanpa kuarantin “Test & Go”. Pasangan itu berkunjung ke bar, konsert dan pasar.

Terkini, Thailand melaporkan 740 kes varian Omicron di 33 wilayah di negara itu termasuk lebih 200 kes daripada kluster Kalasin.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak berkata, kes Omicron melibatkan 489 kes import dan 251 jangkitan tempatan.

“Sehingga kini, kami menjalankan 8,000 ujian COVID-19 dan mengesan 740 kes Omicron,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, setiausaha tetap kementerian kesihatan awam Dr Kiatiphum Wongrajit berkata, dalam situasi paling buruk, dengan langkah pencegahan seperti ujian dan vaksinasi yang sedikit, kes COVID-19 harian dalam negara boleh mencecah 30,000 kes dan lebih 170 kematian.

Bagaimanapun, menurutnya, kes COVID-19 boleh mencecah 10,000 dengan kematian harian yang lebih sedikit jika orang ramai mematuhi langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kakitangan kerajaan akan mula bekerja dari rumah selepas Tahun Baharu dalam usaha membendung wabak itu.

Beliau turut menggesa sektor swasta untuk mengikuti langkah itu.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, Thailand mencatatkan 2,575 kes baharu COVID-19 dan 17 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara itu kepada 2,217,287 dan 21,647 kematian. – Bernama