Pada 17 hingga 19 Disember 2021, suatu persidangan kemuncak pemimpin agama penganut Hindu yang berideologi Hindutva telah diadakan di Bandar Haridwar, India. Akan tetapi, sidang kemuncak tersebut telah menjadi suatu medan untuk beberapa pemimpin agama menyeru dan menggesa rakyat India bangkit dan menyokong pembersihan etnik dilaksanakan di India terutamanya terhadap penganut agama Islam di India.

Kenyataan terbuka yang diucapkan oleh beberapa pemimpin agama tersebut adalah untuk menanam rasa benci terhadap golongan minoriti dan juga untuk menyerang rumah-rumah ibadat di India adalah suatu perkara yang mengancam keselamatan golongan minoriti dan tidak boleh dipandang ringan. Lebih menyedihkan lagi, apabila tiada tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa India yang dikuasai oleh kerajaan Narendra Modi yang berkait rapat dengan kumpulan Hindutva ini.

Kejadian ini sememangnya adalah suatu perkara yang sangat membimbangkan apabila ancaman dan seruan secara terbuka ini telah dibuat oleh beberapa pemimpin beragama Hindu di persidangan tersebut. Kerajaan India pimpinan Narendra Modi seharusnya menjadi pendokong dan pelaksana hak-hak kemanusiaan yang selama ini telah menjadi asas penubuhan negara India. Tambahan pula, India sebagai salah sebuah negara yang bukan sahaja menyokong dan menyertai Universal Declaration of Human Rights (UDHR), bahkan adalah antara negara yang menjadi penyumbang utama kepada penggubalan UDHR tersebut pada tahun 1948.

Pihak MHO dengan ini mengecam dengan sekerasnya kenyataan menyeru kebencian yang telah dikeluarkan oleh beberapa pemimpin agama di persidangan tersebut. Pihak MHO menegaskan bahawa golongan minoriti di India seharusnya dibenarkan hak untuk hidup (Article 3 UHDR) dan hak untuk beragama (Article 2 UHDR). Prinsip kemanusiaan seharusnya dan sepatutnya dipertahankan oleh pihak berkuasa di India terutamanya kepada golongan minoriti di India. Semua manusia berhak dilayan sama rata di antara satu sama lain. Suka untuk kami petik pesan pujangga oleh Mohandas Karamchand Gandhi, seorang pejuang kemanusiaan di India :-

The greatness of humanity is not in being human, but in being humane.

Oleh yang demikian, pihak MHO sebagai sebuah pertubuhan yang komited memperjuangkan hak-hak kemanusiaan mengambil kesempatan ini untuk menggesa kepada semua pihak terutamanya beberapa pemimpin agama Hindu yang telah mengeluarkan kenyataan menyeru kepada kebencian dan menggalakkan keganasan terhadap golongan minoriti di India untuk menghormati dan mematuhi prinsip-prinsip hak kemanusiaan terhadap semua golongan manusia tanpa membezakan kepercayaan, warna kulit, status dan lain-lain lagi.

Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

Datuk Hishamuddin Hashim, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).