KUALA LUMPUR – Pertahanan PJ City FC, Jeremy Lim berbangga dapat mengikut jejak langkah ayahnya, Lim Yu Po, yang juga bekas pemain Melaka pada era 80-an untuk meneruskan legasi keluarga dalam dunia bola sepak.
Walaupun melalui perjalanan yang perlahan dalam kariernya, pemain berusia 23 tahun itu bersyukur kerana ayahnya sentiasa memberikan sokongan sebelum segala-galanya berubah apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), empat tahun lalu.
Hanya sekadar ‘suka-suka’ menjalani pemilihan pemain bersama skuad Piala Presiden PKNP FC, Jeremy tidak menyangka beliau terpilih dan seterusnya, dia berjaya memikat PJ City.
“Saya sebenarnya tidak begitu serius bermain bola sepak semasa di bangku sekolah dan tidak pernah ada pengalaman bermain di peringkat tertinggi malah lebih banyak menghabiskan masa dengan bola keranjang.
“Bagaimanapun saya banyak belajar bermain bola sepak dengan ayah yang kebetulan bekas pemain Melaka satu ketika dahulu dan pernah bermain dengan Datuk Soh Chin Aun.
“Malah saya juga mengenali Chin Aun dan menjadikan beliau sebagai pemain idola saya kerana kebetulan bermain di posisi yang sama iaitu pertahanan tengah.
“Biarpun tidak ada pengalaman semasa di peringkat bangku sekolah, saya ada juga bermain di Liga Sosial sekitar Melaka dan segalanya bertukar serius selepas saya belajar di UTAR, Kampar.
“Saya sangat gembira boleh terpilih dalam skuad Piala Presiden PKNP walaupun tidak letakkan harapan yang tinggi pada mulanya dan sejak detik itu, saya mula serius dalam bola sepak malah bersama PJ City, banyak pengalaman berharga yang saya telah raih, ” katanya.
Namun, jauh di sudut hati Jeremy, dia berasakan masih banyak lagi perlu dipertingkatkan terutama bagi sentiasa mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama.
Dalam masa sama, dia tidak menafikan perancangan PJ City untuk menggunakan 100 peratus pemain tempatan turut membuka ruang buat dirinya merasai pengalaman bermain di Liga Super.
“Saya tidak boleh berpuas hati dengan apa dikecapi sekarang kerana merasakan minit permainan dengan pasukan masih belum banyak dan perlu sentiasa tingkatkan prestasi jika mahu kerap bermain.
“Harap musim 2022, saya boleh menyumbang dengan lebih banyak kepada pasukan selain buatkan orang lain kenali siapa saya.
“Sememangnya saya berbangga dapat bermain dengan PJ City kerana tanpa import, kami berjaya menunjukkan kepada pasukan lain yang kami boleh bersaing dengan berjaya meraih tempat ketujuh di Liga Super, ” katanya. – MalaysiaGazette