Syahir Bashah.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) terus rancak membawa masuk pemain baharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2022 apabila mengumumkan Syahir Bashah sebagai rekrut ketujuh pasukan itu untuk memperkuatkan jentera tengah.

Berasal dari Ipoh, Perak, dia baru sahaja memulakan karier bola sepak profesionalnya dua tahun lepas bersama Perak FC II kemudian dinaikkan pangkat ke pasukan senior Perak FC musim lalu untuk 12 perlawanan.

Menerusi satu kenyataan, pemain yang berusia 20 tahun ini telah menarik minat ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berdasarkan prestasinya dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2021.

“Semasa liga sedang berjalan, Syahir telah mempamerkan aksi yang sangat menarik sepanjang perjalanannya bersama pasukan sebelum ini terutama sekali semasa menentang Selangor FC dalam saingan Piala Malaysia musim lalu.

“Dia boleh bermain pelbagai posisi di bahagian tengah tetapi Syahir dipanggil ke Selangor FC adalah untuk dia menumpukan fokusnya di posisi sayap.

“Saya yakin jika kita boleh bimbing pemain ini, beliau mampu memberi impak yang baik kepada pasukan terumanya di bahagian sayap. Saya percaya dia mempunyai kemahiran yang baik dan menarik untuk dipamerkan bersama pasukan,” jelas Micahel.

Selain Syahir, Selangor FC sebelum ini memperkenalkan Samuel Somerville, Yazan Al-Arab, Baha’ Abdelrahman, Zahril Zabri, Fazly Mazlan dan Herlison Caion baru-baru ini.

Pasukan itu dijangka mengumumkan seorang lagi pemain import di posisi penyerang bagi menggantikan tempat Tim Heubach yang ditamatkan kontrak. – MalaysiaGazette