Adib Zainuddin. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Muhammad Adib Zainuddin selaku pertahanan baharu skuad Terengganu FC (TFC) mendedahkan mendapat tiga tawaran daripada kelab lain sebelum beliau mengambil keputusan untuk bersama TFC.

Reputasi Terengganu FC pada musim lalu yang berada dalam kelompok terbaik menjadi faktor utama bagi bekas pertahanan Johor Darul Takzim II ini memilih kelab berkenaan selain mahu menimba pengalaman di bawah kendalian, Nafuzi Zain.
“TFC adalah antara pasukan yang disegani dalam arena bola sepak tempatan. Reputasinya di bawah bimbingan ketua jurulatih Nafuzi Zain memang diakui begitu cemerlang.”

Tambah Muhammad Adib,  secara kebetulan beliau juga mahukan tugasan yang lebih mencabar pada musim depan.

Oleh itu tambah beliau, tawaran daripada Terengganu memang tepat dan kena pada masanya.

Muhammad Adib yang pernah menggalas gelaran kapten serta tonggak utama bagi skuad kebangsaan bawah 23 tahun sama seperti para pemain lain yang memasang impian untuk membantu pasukan mendapatkan piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Jelas beliau, sebagai seorang pemain sebarang bentuk kejayaan pasukan dalam mencapai Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh kelab amat penting.

Ini kerana ia turut mencerminkan nilai serta reputasi dalam pasukan tersebut secara tidak langsung, ujarnya.

Pemain yang berasal dari Mersing, Johor ini pernah menyarung jersi skuad UiTM FC, FELCRA, dan Harimau Muda C sebelum menyertai JDT II dan kini Terengganu.

Beliau setakat ini telah membuat 29 penampilan sepanjang bersama pasukan JDT II dan merupakan pemain tempatan pertama yang ditandatangani Terengganu bagi mengharungi cabaran Liga M musim depan menggantikan Muhammad Mohd Fauzi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast