Le Khanh Hai (dua dari kiri). Foto News Fox24.

KUALA LUMPUR – Le Khanh Hai mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Perkara itu disahkan oleh beliau sendiri kepada portal berita Vietnam, ZingNews.
Keputusan itu diambil selepas lima hari Vietnam tersingkir dari saingan Piala AFF 2020 kepada Thailand di peringkat separuh akhir.

Dia melepaskan jawatan Presiden VFF walaupun sebenarnya masih lagi mempunyai baki tempoh setahun untuk melengkapkan penggal lantikan.

Lembaga Pengarah Eksekutif VFF dilaporkan akan melantik Tran Quoc Tuan yang merupakan Naib Presiden VFF untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Khanh Hai sehingga tempoh pemilihan baharu kelak.

Tidak dapat dipastikan punca perletakan jawatan Khanh Hai sebagai Presiden VFF mengambil kira bola sepak negara tersebut terus berkembang maju di bawah pengurusan beliau.

Khabar angin perletakan jawatan tersebut bukannya perkara baru, namun dinafikan oleh beliau sendiri pada April lalu.

Terdapat laporan mengatakan Khanh Hai mahukan cabaran baharu di tempat lain, selain mendakwa dia kini mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya politik. – MalaysiaGazette