Umbro kini secara rasmi bakal menjadi penaja rasmi dalam pembekalan kit dengan nilai tajaan berjumlah RM1.8 Juta untuk tempoh dua tahun. Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengumumkan Umbro sebagai penaja rasmi kit pasukan melalui Al-Ikhsan Sports bagi musim 2022 dan 2023 dengan nilai tajaan berjumlah RM1.8 Juta.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berkata, kerjasama bersama jenama Umbro ini dilihat mampu mengangkat nilai komersial kelab ke arah yang lebih tinggi.
“Ini memandangkan jenama Umbro ini seperti mana yang diketahui ramai adalah jenama antarabangsa yang berasal dari United Kingdom dan imej kelab TFC ini sendiri boleh dipasarkan ke luar Malaysia melalui kerjasama seperti ini.

“Melihat Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd adalah pemegang lesen Umbro di Malaysia menambahkan lagi keyakinan buat pihak pengurusan kerana TFC sebelum ini telah bekerjasama bersama pihak Al-Ikhsan dengan menggunakan jenama Active Lifestyle (AL) bermula tahu 2019 sehingga 2021 dan dilihatkan kerjasama ini terjalin dengan sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Produk Umbro & Al-Ikhsan, Khairul Asyraf Ahmad turut berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak TFC kerana baginya kerjasama ini boleh bergerak lebih jauh melihatkan pada kualiti yang ada pada pasukan dan pengurusan kelab.
“Cara kelab ini memasarkan pasukan dan semestinya kelab ini salah sebuah kelab di Malaysia yang mempunyai ‘fanbase’ yang besar dan beliau juga salah seorang yang sering mengikuti perkembangan pasukan ini,” katanya.

Untuk rekod pada ketika ini TFC adalah satu-satunya kelab di Malaysia yang menerima tajaan dari jenama Umbro bagi musim 2022. – MalaysiaGazette