JHARKHAND – Gara-gara berang dengan pembahagian harta pusaka tanah milik keluarganya yang didakwa tidak adil, seorang lelaki telah membunuh bapa kandungnya sendiri menggunakan senjata tajam.
Kejadian itu berlaku di daerah Godda di sini dan mangsa merupakan seorang warga emas berusia 70 tahun, Chunni Yadav.
Suspek merupakan seorang anak sulung mangsa dikatakan kecewa dan marah dengan tindakan bapanya yang didakwa memberikan harta yang banyak kepada adiknya manakala suspek tidak mendapat apa-apa.
Selepas mengetahuinya, suspek hilang kawalan sebelum mencapai senjata tajam dari dapur rumah dan mengelar leher bapanya dalam kejadian pada 31 Disember lalu.
Suspek dikenal pasti sebagai Subodh, menurut polis.
Polis menyatakan suspek kecewa selepas bapanya membahagikan sebahagian besar tanah pusaka keluarganya kepada adik dan tuntutan hak sama rata olehnya tidak diendahkan mangsa.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap dalam masa 24 jam selepas pembunuhan itu.
Semasa suspek dipanggil untuk dirakam keterangan, polis telah berasa ragu ke atas keterangan dan tindak tanduknya.
Malah polis juga berjaya mengesan kain berlumuran darah daripada suspek ketika disoal siasat sebelum berjaya menemui bukti penting yang boleh menyabitkannya sebagai pembunuh bapanya.
“Semasa suspek disoal siasat, dia menumpahkan kacang yang dimakan dari tangannya sejurus kain dengan kesan lumuran darah ditemui daripadanya sebelum mengaku membunuh bapa dia.
“Suspek kemudian ditahan dan dihantar ke penjara untuk proses pendakwaan di mahkamah kelak,” kata Superintendan Daerah Godda, YS Ramesh.- Indiatoday.in