Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong .Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dua suspek lelaki warga Kemboja yang disyaki merompak sebuah pusat tuisyen di Sungai Udang, Klang dekat sini tidak dapat bersembunyi lama apabila tumpas di tangan polis.

Malah salah seorang lagi suspek warga tempatan dipercayai bersubahat dalam jenayah tersebut juga sedang diburu, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Katanya, kejadian pecah masuk pusat tuisyen itu berlaku Selasa minggu lalu kira-kira pukul 12.30 tengahari itu disedari guru pusat tuisyen berkenaan.

“Mangsa lelaki tempatan yang tiba ke pusat tuisyen itu mendapati pintu bahagian hadapan pusat tuisyen berkenaan telah diumpil.

“Mangsa yang mula bimbang sesuatu telah berlaku bergegas masuk ke dalam dan hasil pemeriksaannya mendapati beberapa peralatan dan barangan elektronik telah didapati hilang.

“Antaranya yang hilang ialah 10 buah tablet, dua buah projekter, sebuah kamera dan sebuah televisyen berukuran 40 inci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, siasatan polis mendapati mangsa mengalami kerugian RM5,000 berikutan kejadian pecah masuk itu.

Bertindak atas maklumat, semalam kira-kira pukul 3 petang, sepasukan anggota dari Balai Polis Klang telah berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warganegara Kemboja.

Kedua-dua suspek warga asing yang dikenal pasti sebagai Abu Salam, 29 dan Kosay Salam, 25, berjaya diberkas di tempat tinggal mereka di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam dan di Kampung Johan Setia, Klang.

Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek polis berjaya merampas dua buah tablet jenama Apple yang dipercayai hilang dalam kejadian pecah masuk pusat tuisyen itu.

Menurutnya, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

“Polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan yang masih bebas di luar dipercayai bersubahat dalam jenayah pecah masuk tuisyen bersama dua suspek terbabit,” katanya.

Kedua-dua suspek itu kini direman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan polis.

Kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette