KUALA LUMPUR – Penyanyi Elyana mendedahkan identiti doktor perubatan iaitu Dr Mohd. Haris Fadzillah Abdul Rahman yang merawat penyakit kanser limfomanya sejak tahun 2012.
Menurut penyanyi berusia 34 tahun itu, dia sendiri kagum dengan keajaiban daripada Allah SWT selain mengucapkan syukur atas peluang untuk kembali sihat seperti biasa.
“(Pada) 7 Disember 2021. Allah SWT mendatangkan pelangi yang dah lama hilang kepada saya. Keputusan scan saya sangat ajaib. Kanser hilang.
“Alhamdulillah… Inilah doktor saya selama 10 tahun saya sakit, Dr Haris. Terima kasih doktor,” tulisnya di hantaran Instagram miliknya.
Sebelum ini, penyanyi Elyana berkongsi berita gembira apabila disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihadapinya sejak 11 tahun lalu.
Bulan lalu, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal itu berkongsi berita gembira apabila disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihadapinya sejak 11 tahun lalu.
Pada Oktober lalu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, baru sahaja selesai menjalani kemoterapi sesi kedua bagi merawat kanser limfoma yang dihidapinya.
Elyana sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan dan kebuntuan mengenai kos sesi kedua rawatan kemoterapi yang menelan belanja hingga RM250,000 bagi keseluruhan lima sesi yang perlu dilaluinya.
Pada Julai lalu, Elyana telah menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.
Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat. – MalaysiaGazette