Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan barang rampasan kes Geng Jering Chini di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Geng Jering Chini yang aktif melakukan jenayah samun sejak Disember lalu akhirnya tumpas dan ahi-ahlinya diberkas dalam operasi Op Samun baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia 28 hingga 35 tahun dalam beberapa serbuan di Paloh Inai dan Felda Chini, Pekan pada 26 Disember sehingga 30 Disember lalu.

“Sindiket jenayah samun dilakukan yang menahan mangsa memberhentikan kereta tepi jalan atau mangsa yang menunggang motosikal dengan bersenjatakan parang sebelum menyamun.

“Antara barang yang disamun merupakan barang kemas, telefon bimbit, wang tunai dan dokumen pengenalan diri mangsa,” katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Berpusat di Indera Mahkota hari ini.

Jelas Ramli, selain itu modus operandi mereka ialah mencuri motosikal atau kereta yang ditinggalkan tanpa mematikan enjin kenderaan.

Dalam tempoh sebulan, mereka melakukan empat kes samun dan tiga kes mencuri kenderaan dengan anggaran kerugian mangsa sebanyak RM38,000.

“Dengan tumpasnya Geng Jering Chini ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes dan merampas empat buah telefon bimbit, sebuah kereta yang dibakar, dua buah Proton Wira, barang kemas, dua bilah parang dan sebilah pedang,” katanya.

Kesemua tahanan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kesalahan samun berkumpulan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Manakala Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan pula, hukumannya tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun serta denda.

“Keempat-empat suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 9 Januari 2022 bagi tujuan siasatan,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 85 kes samun dilaporkan dan polis Pahang berjaya menyelesaikan sebanyak 46 kes bersamaan 54.11 peratus.- MalaysiaGazette