Petugas keselamatan memeriksa suhu seorang wanita di Lapangan Terbang Riyadh, Arab Saudi. foto Reuters

RIYADH – Kes koronavirus harian di Arab Saudi telah meningkat melebihi 1,000 buat kali pertama sejak Ogos, manakala jangkitan harian di Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melepasi paras 2,500 kes.

Pihak berkuasa di dua negara Teluk Arab tidak memecahkan kes mengikut varian Covid-19.

Bagaimanapun, kedua-dua negara mengesahkan kes pertama varian Omicron pada awal Disember.

Arab Saudi, negara Teluk terbesar dengan penduduk sekitar 30 juta, pada hari Ahad mencatatkan 1,024 jangkitan koronavirus baharu dan satu kematian.

Kes harian jatuh di bawah 100 pada bulan September.

UAE pula merekodkan 2,600 kes koronavirus baharu dan tiga kematian.

Jangkitan harian di UAE meningkat melebihi 2,000 pada 29 Disember selepas jatuh di bawah 100 kes pada Oktober.

UAE berkata, ia akan melarang warganegara yang tidak divaksinasi daripada melancong ke luar negara mulai 10 Januari dan warga yang divaksin sepenuhnya juga memerlukan suntikan penggalak untuk melakukan perjalanan.

Angka harian terkini Covid-19 masih di bawah paras tertinggi hampir 4,000 di UAE pada Januari lalu apabila pengunjung berpusu-pusu ke negara itu dan rekod lebih 4,700 di Arab Saudi pada Jun 2020, menurut data Reuters.

Sementara itu, keluk koronavirus di Arab Saudi menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah jangkitan yang disahkan dan kes kritikal dan ia berkemungkinan meningkat dalam beberapa hari akan datang, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Mohammed Al-Abdali berkata.

Katanya, kes kritikal semakin meningkat berikutan ada dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin dan tidak melengkapkan dos masing-masing.

Beliau turut meminta wanita hamil dan mereka yang pulih daripada Covid-19 untuk menerima dos penggalak.

Jurucakap rasmi itu menegaskan kanak-kanak akan diberi dos dalam kuantiti yang lebih kecil berbanding dos yang diberikan kepada orang dewasa, selain penggunaan jarum yang sesuai.

Al-Abdali menyatakan, dunia merekodkan sejumlah besar kes dijangkiti ekoran gelombang Covid-19 telah melalui beberapa peringkat. – Agensi