Hujan yang tidak menentu di daerah Segamat menjadikan Johor menunjukkan peningkatan mangsa di negeri ini.

JOHOR BAHRU – Hujan berterusan di Johor sejak tiga hari lalu menyebabkan enam buah daerah di negeri ini terkesan akibat Monsun Timur Laut dengan 3,841 mangsa terjejas pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,008 keluarga di Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Johor Bahru.

Setakat pukul 8 pagi tadi, daerah Segamat terjejas teruk apabila seramai 3,178 mangsa daripada 828 keluarga dipindahkan ke 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Mersing merekodkan seramai 366 mangsa daripada 90 keluarga yang terkesan akibat banjir yang dipindahkan ke enam PPS di daerah itu manakala seramai 122 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Kota Tinggi.

“Sementara itu, di Tangkak pula, seramai 120 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan di dua PPS dan di Kluang melibatkan 53 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan ke tiga PPS setelah rumah mereka dinaiki air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, keadaan banjir di Johor Bahru tidak begitu teruk setelah hanya dua mangsa dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Sungai Tiram.

Tambahnya, Kampung Tenang, Kampung Paya Lang, Kampung Simpang Loi dan Kampung Lembah Bakti di Segamat merupakan kawasan terjejas teruk apabila lebih 200 penduduk di kampung itu dipindahkan.

“Ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan Johor berada pada tahap bahaya apabila hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di seluruh negeri pada hari ini. – MalaysiaGazette