Abdalla Hamdok. foto Reuters

KHARTOUM – Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok mengumumkan peletakan jawatannya hanya beberapa minggu selepas beliau terlibat dalam perjanjian kontroversi dengan tentera.

Tentera Sudan telah melakukan rampasan kuasa pada bulan Oktober dan meletakkan Hamdok di bawah tahanan rumah.

Tetapi beliau dikembalikan semula berikutan perjanjian perkongsian kuasa dengan ketua rampasan kuasa.

Penunjuk perasaan menolak perjanjian itu dan menuntut pelaksanaan undang-undang politik awam sepenuhnya.

Dalam ucapan di televisyen, Hamdok berkata Sudan berada pada “titik perubahan berbahaya yang mengancam kelangsungan hidupnya”.

Hamdok berkata, beliau telah mencuba sedaya upaya untuk menghalang negara daripada “terjerumus ke arah bencana”, tetapi “walaupun semua yang telah dilakukan untuk mencapai kata sepakat… ia tidak berlaku”.

“Saya memutuskan untuk mengembalikan tanggungjawab dan mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai perdana menteri dan memberi peluang kepada individu lain untuk… membantunya dalam tempoh peralihan kepada negara demokrasi awam,” tambahnya.

Pemimpin awam dan tentera memasuki perjanjian perkongsian kuasa yang tidak selesa bertujuan untuk menggerakkan negara ini ke arah pemerintahan demokrasi selepas pemberontakan yang membawa kepada penggulingan Presiden Sudan yang autoritarian, Omar al-Bashir pada 2019.

Di bawah perjanjian yang dicapai dengan Hamdok pada November, perdana menteri yang dilantik semula sepatutnya mengetuai Kabinet teknokrat sehingga pilihan raya diadakan.

Tetapi tidak jelas berapa banyak kuasa kerajaan awam baharu itu dan rakyat yang terlibat dalam tunjuk perasaan pula berkata mereka tidak mempercayai tentera.

Beribu-ribu orang turun ke jalan-jalan di ibu kota Khartoum dan bandar Omdurman pada hari Ahad.

Penunjuk perasaan melaungkan “kuasa kepada rakyat” dan menyeru tentera untuk meninggalkan politik.

Di media sosial, aktivis berkata, tahun 2022 akan menjadi “tahun penentangan”.

Lebih 50 orang telah terbunuh dalam protes sejak rampasan kuasa, termasuk sekurang-kurangnya dua pada hari Ahad, menurut Jawatankuasa Doktor Pusat Sudan.

Pemimpin rampasan kuasa, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mempertahankan tindakan tentera Oktober lalu berkata, tentera telah bertindak untuk menghalang perang saudara meletus.

Beliau berkata, Sudan masih komited kepada peralihan kepada pemerintahan awam, dengan pilihan raya dirancang pada Julai 2023. – BBC