LONDON – Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo disahkan positif Covid-19 sekaligus kehadirannya bagi sambutan ulang tahun ke-101 pasukan pertamanya, Cruzeiro dibatalkan.
Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, penyerang berusia 45 tahun itu hanya mengalami gejala ringan dan sedang dikuarantin.
“Ronaldo sihat cuma muncul simptom ringan dan dia kini akan berehat dan mengasingkan diri mengikut nasihat perubatan” kata Cruzeiro yang dibeli Ronaldo bulan lalu menerusi Twitter.
Dia meledak 56 gol dalam 58 perlawanan buat skuad yang berpangkalan di Belo Horizonte itu sebelum meraikan karier gemilang di Eropah bersama PSV Eindhoven, Barcelona, Inter Milan, Real Madrid dan AC Milan.
Ronaldo menang Ballon d’Or pada 1997 dan 2002.
Pemain itu juga beraksi bersama skuad Piala Dunia 1994 Brazil dan meledak lapan gol dalam tujuh perlawanan apabila Selecao sekali lagi menang pada 2002.
Dia menamatkan karier bersama pasukan berpangkalan di Sao-Paulo, Corinthians pada 2011. – MalaysiaGazette