Pekerja kilang, Rosrina Alias tidak dapat menahan air mata namun reda apabila tidak dapat menunaikan umrah selepas kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah itu bermula 8 Januari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ukay Indah, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Dua beradik merasa amat terkilan apabila impian mereka untuk menunaikan umrah tergendala susulan keputusan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadat itu bermula 8 Januari ini.

Pekerja kilang, Rozita Alias, 49, berkata, dia bersama adik, Rosrina, 35, sudah lama menyimpan hajat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Menurut Rozita, dia sepatutnya berlepas ke Mekah pada 20 Januari ini namun tidak menyangka segala persiapan yang dibuat selama ini terpaksa ditangguhkan.

Pekerja kilang, Rozita Alias (kanan) bersama adiknya, Rosrina Alias sayu melihat beg pakaian yang sudah siap dikemas namun tidak dapat menunaikan umrah selepas kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah itu bermula 8 Januari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ukay Indah, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2022.

“Sedih sangat sebab saya rasa sudah dekat sangat dengan Kaabah, rasa teringin nak pergi memang dah lama tapi bila dapat peluang kemudian tertangguh jadi terkilan.

“Kami berdua memang sangat teruja pada mulanya kerana tarikh pun sudah tidak lama lagi, persiapan pun semuanya sudah lengkap dari segi barangan yang perlu dibawa sehingga lah dokumen penting seperti pasport dan visa,” katanya sebak ketika ditemui MalaysiaGazette.

Tambah Rozita lagi, dia bukan orang berada dan perlu mengumpul wang dalam tempoh masa yang agak lama untuk membuat tempahan umrah dengan agensi pelancongan.

“Saya bukanlah orang yang berkemampuan tinggi, kerja kilang jadi kumpul sikit-sikit duit dan main kutu semata-mata mahu menjejakkan kaki ke sana.

“Tarikh pun dah dekat sangat tapi rasa kesal lepas dengar di televisyen mengenai penangguhan ini,” ujarnya.

Pekerja kilang, Rozita Alias (kanan) bersama adiknya, Rosrina Alias tetap mengemas beg pakain mereka mahupun tidak dapat menunaikan umrah selepas kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah itu bermula 8 Januari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ukay Indah, Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2022.

Manakala Rosrina berkata, dia bersama kakaknya bersungguh-sungguh menyimpan wang kerana sudah lama teringin untuk ke Mekah dan Madinah.

Namun jelas Rosrina, dia perlu reda kerana semuanya sudah menjadi ketentuan Allah.

“Kita hendak ke Tanah Suci jadi memang penuh kesungguhan menyimpan duit dengan mencari rezeki sebagai pekerja kilang, tapi saya reda kerana ia sudah ketentuan.

“Sekiranya diizin memang saya ingin pergi ke sana sebab sudah bertahun lamanya menunggu. Biarlah kami dapat jejak kaki ke sana kerana penyakit ini memang tidak akan hilang,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu. media melaporkan, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadat umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Menurut Khairy, kebolehjangkitan Omicron adalah lebih besar berbanding varian Delta dan jika denominator kes lebih besar, sudah pasti kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi lebih tinggi, justeru Kementerian Kesihatan mahu mengelak sistem kesihatan negara menjadi lumpuh disebabkan varian ini, melalui strategi memperlahankan penularannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM perlu campur tangan isu penangguhan umrah – BUMITRA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast