Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA), Haji Harun KC Ahmmu (dua kiri) bersama Setiausaha Agung BUMITRA MALAYSIA, Ab Rahman Mohd Ali (kiri) menunjukkan kenyataan media mengenai implikasi kerugian yang ditanggung oleh Jemaah Umrah dan Pengendali Umrah akibat penangguhan sementara Ibadah Umrah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) mahu Perdana Menteri campur tangan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari ini.

Presidennya, Harun KC Ahmu berkata, selain mahu campur tangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya juga mahu bertemu sendiri dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri bagi menyuarakan pandangan lebih tepat kesan daripada penangguhan itu.

Beliau kecewa dan mempersoalkan kenapa BUMITRA tidak dipanggil oleh KKM untuk memberi pandangan sebelum keputusan itu dibuat sedangkan persatuan itu majoriti dinaungi syarikat pengendali umrah dan haji di negara ini.

“BUMITRA sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan KKM dalam usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan varian Omicron.

“Namun kami tidak dipanggil untuk memberi pandangan sebelum keputusan penangguhan ini di mana mungkin KKM dapat mempertimbangkan keputusan yang nampak bijak untuk dibuat berbanding penangguhan sementara,” katanya.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA), Harun KC Ahmmu bercakap pada sidang media mengenai implikasi kerugian yang ditanggung oleh Jemaah Umrah dan Pengendali Umrah akibat penangguhan sementara Ibadah Umrah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Platinum Walk, Setapak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

Beliau berkata demikian semasa sidang media berkaitan implikasi kerugian yang ditanggung oleh jemaah dan pengendali umrah di sini hari ini akibat penangguhan sementara yang diumumkan KKM pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Harun berharap kerajaan memberikan kuarantin secara percuma kepada jemaah umrah yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata, ini kerana bermula haru ini, kerajaan telah mewajibkan jemaah umrah dikuarantin di tempat yang ditetapkan dengan kos sekitar RM250 hingga RM355 sehari.

Selain itu, beliau mencadangkan agar kos kuarantin bagi jemaah yang berkemampuan dikembalikan kepada harga asal iaitu RM150.

“Kami harap KKM dan MOTAC memberikan kuarantin percuma dan beri pilihan kepada mereka yang mampu untuk menginap di hotel.

“Ini kerana, bermula hari ini, bagi jemaah umrah yang tiba pukul 11 pagi, mereka diwajibkan kuarantin dan harga caj ini dinaikkan.

“Caj kuarantin dinaikkan kepada RM250 hingga RM355 sehari untuk seorang. Jadi kami memohon agar caj ini dikembalikan kepada RM150 sehari,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penangguhan umrah bertujuan perlahankan Omicron – Khairy