Oplus_131072

KUALA LUMPUR – Mana-mana pengusaha stesen minyak yang menjual petrol dan diesel bersubsidi dan berdepan ugutan daripada sindiket penyeludupan bahan api itu digesa membuat laporan polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun ia dikawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun apabila wujud unsur ugutan, ia menjadi tanggungjawab polis.

“Dari segi kawal selia lesen, diuruskan KPDN, manakala kuota bayaran subsidi dibayar oleh Kementerian Kewangan.

“Bila ada elemen ugutan, itu sudah jadi bidang kuasa polis

“Kalau berlaku betul aduan atau ada elemen ugutan, dia hendaklah segera membuat laporan polis, itu sahaja pilihan dia, barulah kemudiannya tindakan diambil,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi PDRM dan DBKL bersama rakan strategik komuniti setempat di Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka.

Selain menerima ugutan, ada antara pengusaha stesen minyak terbabit didatangi gengster serta samseng.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan ugutan itu setakat ini

“Belum lagi,” katanya. – MalaysiaGazette