PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kemungkinan untuk membenarkan semua murid darjah satu, dua dan enam untuk masuk kelas apabila sekolah dibuka semula pada Januari nanti.
Keadaan itu bermakna pelajar berkenaan tidak lagi dibahagi mengikut kumpulan apabila memasuki kelas, tetapi semua akan masuk secara serentak.
Sinchew Daily melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang meneliti kemungkinan itu dengan mendapatkan pandangan guru besar, cikgu, ibu bapa dan pihak berkepentingan.
Sumber berkata, memandangkan pelajar darjah enam bakal memasuki tingkatan satu, maka Kementerian Pendidikan berharap semua mereka dapat masuk sekolah bagi memperkukuhkan persediaan memasuki sekolah menengah dalam tempoh lanjutan tempoh persekolahan 2021 pada Januari dan Februari.
“Ini terutamanya untuk Matematik dan Sains yang akan diajarkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu di sekolah menengah berbanding bahasa ibunda di sekolah rendah vernakular.
“Kementerian Pendidikan berharap mereka dapat menggunakan dua bulan yang ada untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu selain membolehkan mereka memahami keadaan di sekolah menengah,” katanya.
Pertimbangan membenarkan pelajar darjah satu dan dua masuk sekolah secara sepenuhnya adalah dibuat berdasarkan keperluan memperkukuhkan asas bahasa dan Matematik.
Sinchew Daily melaporkan, selain darjah satu, dua dan enam, Kementerian Pendidikan juga bercadang untuk membenarkan kemasukan sekolah sepenuhnya untuk sekolah kurang daripada 300 orang dan untuk pelajar yang menyertai Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang mana kadar vaksinasi telah mencapai 90 peratus. – MalaysiaGazette