Kejadian tanah mendap dan jalan berlubanmg di Jalan Kinabalu menghala ke Cheras menyebabkan laluan itu ditutup untuk kegunaan awam selama tiga hari sehingga kerja pembaikan selesai dilakukan DBKL. Gambar Ihsan DBKL

KUALA LUMPUR – Jalan Kinabalu yang menuju ke arah Cheras telah ditutup untuk kegunaan awam berikutan kejadian tanah mendap.

Lokasi itu di belakang Rumah Persekutuan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, insiden pemendapan tanah itu berlaku pagi tadi.

“Tindakan penutupan jalan telah dilakukan pada hari ini, jam lebih kurang 10.30 pagi bagi semua kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemendapan tanah yang mengundang jalan berlubang di Jalan Kinabalu pagi ini dipantau pihak berkuasa DBKL untuk tindakan lanjut dengan kadar segera. Ihsan DBKL

Menurut beliau, kerja-kerja pembaikkan sedang giat dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Jalan itu akan ditutup untuk tempoh lebih 72 jam memandangkan DBKL dijangka mengambil masa dua atau tiga hari bagi membaik pulih jalan mendap dan berlubang itu sebelum dibuka semula untuk kegunaan kenderaan.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan.

Katanya, laluan-laluan alternatif telah disediakan yang mana kenderaan yang datang dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan Selatan dilencongkan ke Bulatan Datuk Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke Selatan semula.

“Manakala, kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin pula dilencongkan terus ke Jalan Raja Untuk ke Pusat Bandar atau Ke arah Utara semula.

“Dalam pada itu, kenderaan yang datang daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching untuk kelancaran trafik.

“Kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen,” ujar beliau. – MalaysiaGazette