Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang Penguasa Kanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan pecah amanah wang bernilai US$6.94 juta.

Shahrum Nizam Baharuddin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Shahrum Nizam yang berusia 40 tahun antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta iaitu matawang dolar Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$6.94 juta.

Beliau dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim kemudian menetapkan tiada ikat jamin yang dibenarkan, selepas mempertimbangkan rayuan pasukan pendakwa raya.

Terdahulu pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pertuduhan itu merupakan kes besar dan menjadi tumpuan media seluruh negara.

Hakim turut menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara mengesahkan menerima kertas siasatan berkait kehilangan wang berjumlah AS$6.94 juta daripada SPRM.

Berikutan itu, SPRM dilaporkan menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa wang tunai sebanyak RM25 juta yang dirampas suruhanjaya tersebut ketika siasatan dilakukan hilang.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan Shahrum Nizam sedang ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK). – MalaysiaGazette