Tan Sri Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussuf Latiff mencadangkan UMNO untuk menganjurkan Kongres Khas dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di seluruh negara bagi mendapat semula sokongan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, pihaknya percaya menerusi kongres itu UMNO dapat mendengar sendiri suara hati NGO yang mewakili suara orang Melayu.

Bagaimanapun, tegas beliau, pemimpin UMNO harus bersikap terbuka menerima cadangan, teguran dan kritikan secara keseluruhan ketika penganjuran tersebut demi kepentingan rakyat serta negara.

“Pemimpin UMNO harus bersikap terbuka dan hapuskan sikap warlord dalam parti kerana masih ramai orang Melayu yang tidak menyertai mana- mana parti politik kerana masih sayang dan menyokong UMNO.

“Sebagai orang lama dan antara seorang Melayu yang bersama-sama dengan UMNO sejak tahun 1946 lagi, saya secara ikhlas dan terbuka menyatakan bahawa UMNO mula tergelincir dari landasan perjuangan asalnya.

“Imej UMNO bertambah buruk apabila beberapa pemimpinnya terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah dan seterusnya UMNO dianggap bukan lagi dikuasai oleh akar umbi UMNO tapi dikuasai oleh pemimpinnya yang mengamalkan politik wang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yussof, UMNO kini memerlukan suntikan semangat perjuangan asal penubuhannya pada tahun 1946 supaya UMNO muncul kembali sebagai juara dalam pejuangannya untuk agama, bangsa dan negara.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan UMNO amat wajar berusaha bagi menganjurkan Kongres Khas dengan semua NGO-NGO Melayu sebagai usaha menyediakan platform untuk berinteraksi dengan masyarakat Melayu secara keseluruhannya dengan hasrat bagi memperbaiki segala kelemahan yang sedang dihadapi.

“Pemimpin UMNO harus hentikan sikap “kita lebih tahu” kerana keputusan Pilihan Raya Ke-14 telah memberi isyarat yang jelas bahawa “rakyat lebih tahu”.

“Andai UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), para pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintergriti, jujur dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast