Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin bercakap ketika memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) keluaran Perodua di Autoshow 2024 di Hall A, MAEPS Serdang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 MEI 2024.

SERDANG –  Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mempamerkan kenderaan elektrik (EV) prototaip daripada Myvi Conversion, dikenali emo-1, pada Malaysia Autoshow 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, model Perodua Myvi dipilih kerana kereta itu berjaya menambat hati rakyat Malaysia.

“Walaupun rupa sebenar EV Perodua berbeza dengan apa yang kami pamer di sini, yakinlah bahawa kereta elektrik pertama dari syarikat kami akan tetap dikeluarkan.

“Ketiga-tiga komponen utama prototaip EV ini iaitu bangku pengujian kuasa, rangkaan penggerak kuasa dan rekaan keseluruhan telah dibuat di Malaysia manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan di syarikat yang berpangkalan di Australia.

Rekabentuk pada bahagian enjin prototaip kenderaan elektrik (EV) keluaran Perodua di Autoshow 2024 di Hall A, MAEPS Serdang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 21 MEI 2024.

“Proses pembangunan bangku pengujian kuasa telah dibuat oleh Perodua dengan kerjasama tiga universiti iaitu Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Kerjasama yang dijalinkan Perodua bersama tiga universiti awam itu bukan sahaja dapat membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV tetapi juga membuka peluang meningkatkan kepakaran dan kemampuan tenaga kerja dalam bidang EV.

Katanya, harga kenderaan EV yang akan dikeluarkan itu tidak akan melebihi RM100,000 dan tidak kurang daripada RM50,000.

“Saya percaya yang kami berada di landasan yang betul dan harapnya tidak akan ada masalah yang timbul.

“Kilang Perodua kini beroperasi dengan lebih 300,000 unit dan kami menyasarkan untuk menghasilkan lebih kurang 250,000 unit tahun ini.

“Bbagaimanapun, kita perlu melakukan pertimbangan semula untuk unit EV ini kerana kami tidak boleh menganggu kilang semasa berikutan ianya sudah melebihi kapasiti biasa Perodua,” tambahnya. – MalaysiaGazette