Ismail Sabri bersama Hasni Mohammad ketika meminjaukeadaan banjir serta melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong di Buloh Kasap, Segamat.
SEGAMAT -Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahukan setiap isi rumah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu dipastikan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
SEGAMAT – Setiap isi rumah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu dipastikan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak mahu melihat ada mangsa banjir menunggu lama untuk menerima bantuan terbabit seperti yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, pemberian BWI awal termasuk daripada kerajaan-kerajaan negeri akan membolehkan keluarga terjejas menampung pembelian kelengkapan baharu yang mungkin rosak akibat bencana itu.
“Kita tak mahu selepas enam bulan baru dapat. Seperti dulu-dulu (ada yang) tiga hingga enam bulan baru dapat. Ada seorang mak cik maklum dia tinggalkan semua barang, dia pun tak tahu apa jadi dengan barangan di rumah tetapi memang rosaklah bila biar lama.
“Jadi kita bagi (BWI) ini terus (kepada keluarga) bagi mengurangkan bebanan mereka yang mungkin boleh beli barang keperluan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian meninjau keadaan banjir di daerah Segamat serta melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong di Buloh Kasap, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi pembinaan dan menaik taraf ban di Kampung Spang Loi, di sini, sepanjang 1.5 kilometer.
Ia termasuk meninggikan ban daripada aras 5.2 meter kepada 6.2 meter dalam usaha menampung air banjir.
“Saya sudah dengar pembentangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.
“Ban yang pecah di Segamat berikutan ia tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang kurangkan banjir di daerah ini,” katanya.-MalaysiaGazette