Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang wanita tergamak menipu dengan mendakwa dirinya sebagai mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Dis lepas.

“Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

“Bagaimanapun NGO itu menerima rungutan orang ramai yang mendakwa wanita terbabit bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir berkata, seorang ahli NGO Itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain.

Justeru, katanya, pengadu kemudian membuat laporan polis.

Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni, selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast