1MDB trial Najib Razak
Former Prime Minister, Datuk Seri Najib Razak arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for his 1Malaysia Development Berhad (1MDB) money-laundering trial. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 06 JANUARY 2022. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah enggan menangguhkan lagi perbicaraan penyewelengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Collin mahu prosiding diteruskan walaupun telah dimaklumkan saksi ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir terpaksa cuti sakit kerana demam dan tidak dapat memberikan keterangan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, pihaknya telah cuba menghubungi lima lagi saksi lain untuk memberi keterangan pada hari ini namun atas pelbagai alasan termasuklah berada di luar negara, kuarantin selepas umrah, sakit dan notis lewat.

Namun Collin bertegas dengan memberitahu Ahmad Akram bahawa pihaknya mempunyai 50 saksi dan pihaknya perlu menghubungi kesemua mereka.

Ahmad Akram cuba sekali lagi untuk menangguhkan dengan memberitahu hakim beliau  tidak dapat memikirkan siapa lagi yang boleh hadir petang ini untuk memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan petang ini.

Antara saksi yang telah cuba dihubungi termasuklah Datuk Johan Idris (KPMG Malaysia), bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, bekas pegawai khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, bekas Setiausaha 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lim Poh Seng dan seorang lagi saksi, Goh Gaik Kim.

“Saya tidak dapat fikirkan siapa lagi, selain lima orang ini untuk beri keterangan hari ini namun semuanya mempunyai alasan yang tidak boleh di elakkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Collin enggan menerima alasan-alasan tersebut sebaliknya mengarahkan pasukan pendakwaan untuk mencari lagi saksi lain dan menetapkan 2.30 petang ini untuk sambung bicara.

“Saya tidak mahu buang masa tangguh bicara. Jika lima saksi ini tidak boleh cari saksi lain.

“Anda ada 50 saksi bagi kes ini bukan, hubungi mereka. Saya beri masa kepada anda sehingga 2.30 petang ini. Sehingga itu, kita tangguh sebentar,” katanya hari ini.

Untuk makluman, prosiding selalunya bermula seawal 9 pagi dan berterusan sehingga sebelah petang namun hari ini ianya bermula agak lewat sekitar jam 10 pagi.

Kelibat Najib juga kelihatan di kafe memandangkan beliau sudah tiba seawal 9 pagi tadi.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi.

Semalam, saksi, menolak dakwaan dirinya ‘terlepas’ dari saman sivil oleh 1MDB kerana bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Najib.

Kata Azmi Tahir beliau ‘tiada kuasa’ untuk menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan kewangan syarikat pelaburan strategik itu walaupun beliau turut bimbang mengenainya.

Bagaimanapun beliau tidak pernah membangkitkan isu itu kepada Ahli Lembaga Pengarah  1MDB kerana semua keputusan melibatkan transaksi kewangan telah diputuskan dan diberi kuasa sewajarnya melalui Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) syarikat.

Prosiding bersambung jam 2.30 petang ini. – MalaysiaGazette