Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Orang ramai digesa supaya membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya berlaku kenaikan harga ikan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aduan daripada orang ramai penting supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengetahui punca kenaikan harga.

Katanya, aduan boleh dibuat menerusi beberapa saluran yang disediakan dan orang ramai boleh memanfaatkannya untuk kepentingan bersama.

“Harga ikan naik di sesetangah tempat, itu memang kita faham…lazimnya hujung tahun musim tengkujuh mungkin tangkapan itu kurang serta edaran bekalan.

“Perkara ini bukannya baharu bagi kita…ini selalu kita alami dan kita ada pengalaman dalam menangani perkara ini…kalau ada aduan, kita buat siasatan dan pastikan apa puncanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 Anggota Pentadbiran KPDNHEP di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sekiranya terdapat unsur-unsur pelanggaran pencatutan KPDNHEP akan bertindak menggunakan saluran undang-undang menerusi akta-akta tertentu bagi menangani masalah berkenaan.

Ditanya sama ada pihaknya ada menerima laporan berhubung kenaikan tersebut, Alexander memaklumkan, tidak, sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan akhbar.

“Sebab itu kita mesti buat siasatan dulu…mengapa harga itu naik…kalau dia naik kerana tiada unsur pencatutan, naik biasa mungkin kekurangan bekalan itu kita anggap sebagai yang berlaku secara normal.

“Saya minta kalau ada aduan buatlah aduan secara rasmi bagi tahu di mana, pasar mana, harga, lebih tepat memudahkan kerja penguatkuasa kita.

“Kalau secara umum sahaja dikatakan harga ikan naik, jadi sukarlah seolah-olah ia membangkitkan satu perkara tapi kita tak diberi maklumat yang lebih tepat untuk kita ambil tindakan yang sepatutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast