Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang media khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa satu jawatankuasa khas di bawah Parlimen diwujudkan bagi menyiasat kes melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, SPRM tidak boleh membersihkan imejnya apabila terkait dengan sesuatu isu rasuah.

“Wajarlah jawatankuasa khas di bawah Parlimen menyiasat perkara tersebut dan mencadangkan tindakan sewajarnya untuk membersihkan imej SPRM, namun yang paling penting adalah imej negara.

“Dengan kaedah itu, Azam Baki boleh diberi peluang membersihkan namanya dengan cara yang berintergriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari

Beliau berkata, mengikut terma rujukan, penubuhan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bukanlah berfungsi menentukan amalan rasuah berlaku atau tidak di dalam SPRM lagi-lagi melibatkan Ketua Pesuruhjaya.

“Alasan bahawa ahli keluarga menggunakan namanya dalam pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih mencalarkan lagi imej negara yang sudah sedia tercalar dengan amalan rasuah.

“Ditambah dengan kenyataan bahawa beliau hanya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada LPPR adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Semalam, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Azam berhubung isu pemilikan saham yang didakwa atas namanya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Panel lembaga itu telah memanggil Azam pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial sehingga mencetuskan  persepsi negatif terhadap suruhanjaya itu.

Azam menjelaskan bahawa adiknya yang bernama Nasir telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada tahun 2015.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu  turut menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan.

Sebelum ini, Azam menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular sejak akhir-akhir ini.

Beliau menganggap dakwaan tersebut sebagai satu penipuan besar yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif sekali gus cuba menjatuhkan reputasinya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Susulan itu, Azam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang melemparkan fitnah terhadapnya. – MalaysiaGazette