Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia dan Jawatankuasa Khas Parlimen perlu diberi laluan  menyiasat secara menyeluruh kes yang didakwa melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sementara disiasat, Azam perlu meletakkan jawatan atau bercuti supaya siasatan secara telus dapat dijalankan terhadapanya.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Aminuddin Yahaya berpendapat, Azam tidak perlu bimbang terhadap siasatan oleh pihak berkuasa jika beliau berada di pihak yang benar.

Katanya, Pembela tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutamanya yang melibatkan badan penguatkuasa seperti SPRM.

Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM di antara tahun 2015 dan 2016.

Kemudian semalam, dalam satu sidang media, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyatakan rasa puas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Azam berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Azam dalam sidang media yang sama juga berkata, saham berkenaan dibeli oleh adiknya pada tahun 2015 menggunakan namanya.

Beliau turut menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam pemilikan saham berkenaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyifatkan kes ini sangat serius kerana membabitkan kepercayaan rakyat terhadap SPRM.

“Defisit kepercayaan terhadap SPRM bukannya baharu berlaku, tetapi hasil dari pelbagai siri-siri skandal dalaman suruhanjaya berkenaan.- MalaysiaGazette