Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan berkait dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pemuda AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sepatutnya tidak berkomplot atau bertindak melulu di sebalik pertikaian kes membabitkan Azam.

Menurut beliau, LPPR berfungsi sebagai sebuah badan penasihat hala tuju SPRM dan bukannya bertindak untuk membersihkan nama pemimpin yang telah terpalit dengan dakwaan salah laku.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2022.

“Oleh sebab itu, kita menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menjalankan tanggungjawab melakukan siasatan penuh terhadap Azam tanpa sebarang desakan atau pengaruh badan eksekutif.

“Wang dalam akaun saham yang dikatakan bukan miliknya menimbulkan keraguan daripada mana datangnya sumber walaupun dikatakan milik adik beliau,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Tambah Akmal lagi, pengakuan yang dibuat oleh Azam turut mendatangkan kecurigaan yang serius kerana ia berpotensi melanggar peruntukan Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang mewajibkan akaun CDS dibuka atas nama pemilik benefisiari kepada sekuriti yang didepositkan atau penama.

Selain itu, katanya, terdapat kemungkinan salah laku jenayah lain yang lebih besar seperti pemalsuan identiti yang boleh melanggar Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan kewujudan wang dalam akaun CDS tersebut yang dikatakan bukan milik Azam turut menimbulkan keraguan dari segi sumber.

Tambahnya lagi, transaksi-transaksi yang tidak jelas juga harus diteliti sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang lain yang boleh membawa kepada potensi salah laku seperti kesalahan penggubahan wang haram dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Pengakuan Azam dalam sidang akhbar sebelum ini turut menimbulkan syak wasangka terhadap pematuhan pemilikan dan pengisytiharan harta oleh pegawai awam.

“Justeru, kami merayu supaya PDRM dapat menjalankan siasatan penuh terhadap beliau kerana terdapat pelbagai kecurigaan yang timbul hasil pengakuannya yang meragukan sehingga menggugat kepercayaan masyarakat terhadap SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette