KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung pendedahan Tan Sri Azam Baki yang membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau bagi pembelian saham.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk tindakan selanjutnya.
Bukit Aman tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 7 Januari 2022 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan, terdapat beberapa laporan polis dilakukan terhadap Azam berkaitan isu pemilikan saham.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Ada laporan polis diterima berkaitan Azam Baki – Hamzah
- Wira Putra buat laporan polis minta siasat Azam Baki
- Azam dakwa pihak tertentu melakukan penipuan besar
- SC akan panggil Azam Baki
Menurut Hamzah, beliau difahamkan Azam sedang disiasat mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Kita baru dapat laporan, tetapi sesuatu kesalahan yang berlaku ada mengikut akta tertentu, kalau kesalahan dia dilakukan atas sifat menyalahi akta SC, mereka akan buat siasatan.
“Kemudian kita akan menerima maklum apa yang berlaku, kalau ada kesalahan lain akan kita mulakan siasatan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Projek Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara di Taman Sri Nanding, di sini pada Jumaat.
Azam dalam sidang media baru-baru ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular sejak akhir-akhir ini.
Beliau menganggap dakwaan tersebut sebagai satu penipuan besar yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif sekali gus cuba menjatuhkan reputasinya dan SPRM.
Lantaran itu, beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya termasuk media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu yang mengaitkannya dengan perbuatan salah laku. – MalaysiaGazette