Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) hadir padai Program Mekar Pihatin Pasca Banjir di Dewan Komuniti Sri Nanding Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 07 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan, terdapat beberapa laporan polis dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkaitan isu pemilikan saham.

Menurut Hamzah, beliau difahamkan kini Azam sedang disiasat mengikut akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Kita baru dapat laporan, tetapi sesuatu kesalahan yang berlaku ada mengikut akta tertentu, kalau kesalahan dia dilakukan atas sifat menyalahi akta SC, mereka akan buat siasatan.

“Kemudian kita akan menerima maklum apa yang berlaku, kalau ada kesalahan lain akan kita mulakan siasatan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Projek Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Menerusi satu sidang media kelmarin, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk konglomerat seperti didakwa dan tular sejak akhir-akhir ini.

Menjawab pertanyaan mengapa mengambil masa untuk menjawab tuduhan berkenaan, Azam berkata: “Saya tidak melakukan kesalahan. Dakwaan bahawa terdapat konflik kepentingan pada pihak saya adalah tidak berasas.

“Akaun saham saya digunakan oleh adik saya. Saya tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang dibeli. Saham dibeli oleh adik saya dan syarikat-syarikat tidak ada kaitan dengan (mana-mana) siasatan SPRM,” katanya.

Hari ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat dan Angkatan Muda Keadilan tampil membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menggesa siasatan secara telus dapat dijalankan.

Dalam perkembangan berlainan, Hamzah berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan memperhalusi tata cara kemasukan pengembara luar negara susulan laporan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lalu tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan bagi meneliti semula perkara tersebut. – MalaysiaGazette