KULIM – Pengurus sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman, Sungai Karangan di sini, yang ditahan bagi membantu siasatan kes pukul penghuni warga emas akan didakwa di Mahkamah Majistret Kulim esok.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, wanita berusia 36 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kita telah menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mendakwa wanita itu dan pertuduhan terhadapnya akan dibuat esok,” katanya hari ini.

Media pada Khamis lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan kejadian seorang warga emas dipukul di sebuah pusat jagaan orang tua di Taman Desa Aman di sini.

Tangkapan ke atas pemilik dan pembantu pusat jagaan itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan bahawa lelaki tempatan berusia 70 tahun telah dipukul menggunakan kayu pada 3.50 petang Rabu. – MalaysiaGazette