Oleh: Dr. Wan Nor Munirah Ariffin
KRISIS pencemaran udara akibat jerebu rentas sempadan yang berulang setiap kali fenomena El Niño menguji rantau ini bukan lagi sekadar isu ekologi atau ketidakentuan cuaca. Secara dasarnya, ia merupakan cerminan kegagalan sistemik
yang membarah dalam mengurus etika kejiranan serantau serta menegakkan hak asasi manusia.
Apabila asap hasil pembakaran tanah gambut dan hutan secara berskala besar melintasi sempadan geopolitik, ia secara langsung menafikan hak paling mendasar rakyat Malaysia iaitu hak untuk menghirup udara bersih demi kelangsungan hidup. Namun, fenomena tahunan yang menyaksikan penutupan
sekolah, kelumpuhan aktiviti ekonomi harian dan peningkatan drastik kesihatan awam ini kerap ditangani dengan jawapan retorik yang stereotaip serta penafian kewujudan titik panas. Keadaan ini menyerlahkan kelemahan ketara dalam
pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AHTAP), di mana prinsip diplomasi berlembut kerap dijadikan perisai untuk melarikan diri daripada akauntabiliti yang sebenar.
Dari sudut pandang etika kemasyarakatan, isu ini memperlihatkan jurang yang amat ketara antara retorik keharmonian serantau dengan realiti yang ditanggung oleh masyarakat di peringkat akar umbi. Konsep hidup bertetangga yang berteraskan prinsip saling menghormati, peka terhadap kebajikan sesama dan menjaga sensitiviti jiran seolah-olah terhenti di perkarangan pintu gerbang diplomasi antarabangsa.
Mengabaikan kesan pencemaran yang merentasi sempadan demi mengaut keuntungan korporat atau disebabkan kelemahan penguatkuasaan domestik adalah cerminan sikap tidak bertanggungjawab yang melampau. Ia ibarat seorang jiran
yang menyapu sampah dan membakar sisa toksik di halaman sendiri, lalu membiarkan asapnya menyelubungi dan meracuni seluruh persekitaran rumah sebelah.
Tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan kualiti alam sekitar, malahan secara perlahan-lahan menghakis ikatan kepercayaan serta ikatan emosi antara rakyat dua negara yang berkongsi akar sejarah dan budaya yang rapat.
Keadaan ini menjadi semakin kompleks apabila dikaitkan dengan implikasi fenomena El Niño yang membawa cuaca panas dan kering luar biasa. Walaupun El Niño ialah manifestsasi alam yang tidak dapat dielakkan, pemusnahan hutan dan pembakaran tanah gambut secara rakus oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah faktor utama yang memburukkan krisis ini.
Kebakaran yang bermula daripada tindakan manusia demi menekan kos pembersihan tanah akhirnya bertukar menjadi
malapetaka serantau yang tidak mampu dikawal. Dalam kerangka ini, rakyat biasa terpaksa menanggung kesan ganda: ancaman kesihatan fizikal yang memudaratkan golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, serta beban kewangan
tambahan untuk membeli pelitup muka, pembersih udara, mahupun mendapatkan rawatan perubatan.
Apabila kos luaran ini ditanggung sepenuhnya oleh orang awam manakala pihak penceroboh alam sekitar terus meraih keuntungan, krisis ini bertukar menjadi satu bentuk ketidakadilan sosial yang amat serius. Lantaran itu, sudah tiba masanya wacana berkenaan isu jerebu ini dianjakkan daripada sekadar simpati diplomatik kepada penguatkuasaan perundangan yang berasaskan akauntabiliti nyata.
Diplomasi berlembut yang dipertahankan selama ini
terbukti tidak lagi memadai untuk melindungi hak kerakyatan. Malaysia dan negara-negara terjejas perlu lebih berani mendorong penterjemahan komitmen serantau kepada kerangka undang-undang yang lebih tegas, seperti penggubalan Akta
Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di peringkat domestik masing-masing.
Langkah ini penting bagi membolehkan tindakan mahkamah diambil ke atas mana-mana syarikat atau entity tanpa mengira bendera atau pegangan saham mereka. Jika terbukti terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka di luar negara yang memberi
kesan negatif kepada kualiti udara tanah air.
Tanpa mekanisma undang-undang yang berupaya menjatuhkan hukuman kewangan dan perundangan yang berat, pemegang taruh industri tidak akan mempunyai dorongan moral atau ekonomi untuk mengubah amalan perniagaan mereka. Pada masa yang sama, sikap kritis ini juga menuntut masyarakat tempatan untuk melakukan muhasabah diri secara kolektif.
Menuding jari ke luar sempadan tidak bermakna kita boleh menutup mata terhadap amalan pembakaran terbuka berskala
kecil yang masih berlaku di halaman rumah, kawasan pertanian tempatan atau tapak binaan di negara kita sendiri. Sikap acuh tak acuh terhadap jiran sebelah rumah seperti membakar sampah tanpa mengira keadaan kesihatan jiran berdekatan adalah bentuk mikrokosmos kepada fenomena jerebu serantau ini. Kesedaran bahawa udara ialah khazanah berkongsi yang tidak mempunyai garis sempadan fizikal mesti dipupuk dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat pembuat dasar.
Secara keseluruhannya, jerebu rentas sempadan bukan sekadar bencana alam sekitar yang datang dan pergi mengikut tiupan angin musim, tetapi ia merupakan ujian terhadap kematangan etika dan komitmen politik serantau. Selagi keutamaan
ekonomi jangka pendek mengatasi keselamatan ekologi, dan selagi ikatan diplomasi dijadikan alasan untuk mengelakkan tindakan perundangan yang drastik, selagi itulah keharmonian serantau hanya kekal sebagai retorik manis di atas kertas.
Hak untuk bernapas udara segar tidak sepatutnya dikorbankan demi menjaga hati atau kepentingan mana-mana pihak. Sudah sampai masanya suara rakyat yang prihatin menterjemahkan kekecewaan ini kepada desakan reformasi yang konkrit, demi
memastikan generasi akan datang tidak terus membesar di bawah bayang-bayang langit yang bertukar kelabu setiap tahun.

Penulis adalah Penyelidik Bersekutu Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
















