MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seramai 21 individu termasuk tiga wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Sumber SPRM memberitahu, kesemua suspek berusia antara 31 dan 77 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di sini, hari ini.

“Semua OKT (Orang Kena Tahan) ditangkap kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara,” katanya pada malam ini.

Sumber berkenaan berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri.

Menurutnya, SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu, selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Katanya SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan berkaitan kes itu selepas ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi  mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. — Bernama