Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pembelaan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion bersambung 4 Februari ini.

Sebentar tadi, pasukan pembelaan mewakili isteri bekas perdana menteri itu memohon supaya mahkamah dapat melapangkan tarikh perbicaraan pada minggu ini memandangkan saksi kedua pembelaan tidak dapat hadir memberi keterangan.

Saksi kedua, bekas pegawai khas Najib, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod sedang menunaikan umrah ketika ini.

“Kita mohon kepada Yang Arif supaya dapat lapangkan tarikh kes minggu ini kepada 4 Februari depan,” kata peguam bela, Datuk Jagjit Singh kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Permohonan itu juga tidak mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang awal-awal sudah memberitahu mahkamah terpulang kepada pihak pembelaan untuk memanggil saksi-saksi mereka.

Sepatutnya prosiding bersambung hari ini dengan saksi ke-3, Datuk Seri Najib Razak memberikan keterangan pembelaan namun pada saat-saat akhir beliau tidak dipanggil pagi tadi.

Jagjit mendedahkan, Najib tidak perlu dipanggil memberi keterangan selepas meneliti keterangan bela diri Rosmah ketika disoal balas oleh pihak pendakwaan kerana keterangan Najib yang bersifat menyokong kes pembelaan sudah dikemukakan ketika Rosmah.

Dalam pada itu, Gopal Sri Ram turut memohon kepada Mohamed Zaini supaya perbicaraan melibatkan mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang di hadapi Rosmah pada 12 Januari ini di lambatkan waktu bicara dari 9 pagi kepada 2.30 petang.

“Saya ada kes penting di Mahkamah Persekutuan sebelah pagi, boleh kita mula kes kita sebelah petang,” kata Gopal.

Mohamed Zaini kemudian membenarkan semua permohonan tersebut dan prosiding pembelaan Rosmah akan bermula 4 Februari depan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Rosmah, 70, atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette